Perkongsian bersama ^_^
Suami
sebagai pemimpin rumahtangga semestinya sentiasa kreatif dalam mendidik isteri.
Allah SWT bekalkan kepada kaum lelaki kekuatan akal yang rasional, tidak
terlalu emosional atau mudah didorong oleh perasaan. Lelaki tidak mudah
tersinggung berbanding dengan wanita. Jika kekuatan akal ini dapat dimanfaatkan
dengan sebaik-baiknya, ditambah pula dengan kesabaran serta kekuatan jasmani
untuk mencari nafkah keluarga, seorang suami akan menjadi pelindung dan
pendidik yang berwibawa.
Firman
Allah SWT:
“Lelaki adalah pemimpin (pembela
dan pelindung) bagi wanita, kerana Tuhan telah melebihkan yang satu dari yang
lainnya, dan kerana suami telah menafkahkan sebahagian daripada hartanya.”
Kebahagiaan
rumahtangga dapai diraih apabila suami dapat menggunakan kekuatan akalnya serta
kesabaran dalam menghadapi kerenah dan ragam isteri. Secara mudah, bolehlah
dikatakan lelaki adalah makhluk akal manakala wanita adalah makhluk rasa.
Perasaan wanita terlalu mudah terusik dengan suasana dan keadaan sekeliling.
Oleh itu dalam menghadapi wanita, lelaki hendaklah banyak menggunakan daya
fikir. Kalau umpamanya isteri sedang berduka, suami perlu merancang untuk
mewujudkan perasaan gembira di dada isteri. Di sinilah perlunya strategi dalam
mendidik isteri.
Kaum
wanita memang dibekalkan dengan sembilan nafsu dan akal berbanding dengan
lelaki hanya satu nafsu dan sembilan akal. Nafsu yang dimaksudkan bukanlah
nafsu seks semata-mata tetapi nafsu yang menyebabkan seseorang itu mudah hilang
sabar, mudah berprasangka, pemarah, pemboros dalam berbelanja, cepat
tersinggung dan sebagainya. Pendek kata, hasil dorongan nafsu itulah lahirnya
pelbagai perasaan di dada wanita. Sebab itu dikatakan juga bahawa sembilan
persepuluh daripada diri wanita itu ialah perasaan dan satu persepuluh saja pertimbangan
akal. Atas dasar inilah isteri mesti dipandu atau dibimbing oleh suami agar
segala tindak tanduknya tidak melulu ikut perasaan semata-mata.
Sembilan nafsu pada diri wanita boleh
menyebabkan kerosakan pada masyarakat dan keruntuhan rumahtangga jika tidak
dipagari dengan ilmu syariat. Mahu tidak mahu suami terpaksa mempelajari
sedikit sebanyak ilmu untuk menundukkan wanita atau psikologi wanita serta
memenuhkan dada dengan ilmu syariat. Barulah nanti dapat menggunakan
kebijaksanaan dalam mendidik isteri sekalipun adakalanya menghadapi ragam
isteri yang mencabar kesabaran suami.
Kebijaksanaan mesti disertai
pula dengan kesabaran. Kedua-duanya mesti ada pada seorang suami. Kesabaran
tanpa kebijaksanaan menyebabkan
suami menurut saja kemahuan isteri sehingga isteri lupa daratan. Manakala
kebijaksanaan tanpa kesabaran akan menyebabkan suami tewas dengan nafsunya
sendiri sehingga bertindak ganas dan boleh mencederakan isteri.
Maknanya, tanpa kesabaran seseorang itu hilang pertimbangan akal dan tidak
dapat lagi melihat sesuatu persoalan dengan tenang. Jika kesabaran tidak ada
pada diri, ia perlu diusahakan melalui latihan berpandukan ilmu tasauf. Contoh
bagaimana kesabaran boleh menundukkan nafsu wanita dapat dilihat pada satu
kisah seorang perempuan tua yang suka mengganggu Rasulullah SAW.
Tatkala
Rasulullah SAW lalu di sebelah rumahnya, perempuan tua itu akan membaling
sampah kepada Rasulullah SAW. Adakalanya dia menaburkan sampah dan serpihan
kaca di sepanjang jalan yang akan dilalui oleh Rasulullah SAW. Bahkan pernah
juga dia membaling najis semasa Baginda lalu di sebelah rumahnya. Namun sedikit
pun tidak dipedulikan oleh baginda. Suatu hari Rasulullah SAW rasa pelik kerana
perempuan tua itu tidak menghalangi lagi perjalanannya baik dengan serpihan
kaca mahupun dengan sampah yang dibalingkan. Apabila pulang dari masjid,
baginda bertanya kepada jiran perempuan tersebut. Rupa-rupanya perempuan itu
sakit. Lalu Baginda naik ke rumahnya dengan tujuan untuk berziarah. Rasulullah
SAW bertanyakan khabar dan tolong memasakkan air untuk perempuan tua itu.
Alangkah terkejutnya perempuan tersebut melihat akhlak Baginda yang sanggup
menziarahi dan membantunya tatkala dia sedang sakit. Akhirnya dengan sifat
sabar, Rasulullah menghadapi kerenah perempuan tua itu, menyebabkan terbuka
hatinya untuk mengucap dua kalimah syahadah.
Dalam peristiwa yang lain,
pernah Rasulullah SAW melintasi sekumpulan kaum perempuan, lalu Baginda memberi
salam. Namun tiada seorang pun yang menjawab salam baginda. Rasulullah SAW
memberi salam sekali lagi. Mereka masih diam juga. Akhirnya setelah tiga kali
Rasulullah beri salam, barulah mereka menjawab salam baginda. Apabila ditanya
mengapa mereka tidak menyahut salam yang pertama dan kedua, mereka menjawab: “Kami
sengaja mahu Rasulullah SAW mendoakan untuk kami.”
Begitu
Rasulullah SAW mendidik kaum wanita. Walaupun sesekali kesabaran baginda
rasanya tercabar, tetapi Baginda masih dapat menunjukkan akhlak yang paling
baik. Kadangkala apabila berhadapan dengan kaum perempuan yang pendek akalnya,
kaum lelaki mudah naik angin. Memang tidak dinafikan ada masanya perempuan
mengambil masa untuk memahami sesuatu perkara. Tetapi kaum lelaki mestilah
menyedari hakikat bahawa kaum perempuan memang sediakala lemah pemikirannya.
Oleh itu, suami mestilah bersedia untuk mendidik isteri dengan penuh kasih
sayang tanpa rasa jemu walaupun mengambil masa yang panjang.
Suatu
ketika datang seorang perempuan berjumpa Rasulullah SAW dan bertanya tentang
mandi hadas. Rasulullah SAW menjawab:
“Ambillah sepotong kain perca
yang sudah dikasturikan lalu berwuduk dengannya.” Perempuan itu terpinga-pinga
kerana tidak memahami keterangan Rasulullah. Lantas dia mengulangi lagi
pertanyaannya: “Bagaimana saya hendak berwuduk dengan itu?” Sekali lagi
Rasulullah mengulangi jawapan baginda. Tetapi perempuan yang bertanya masih
belum memahaminya. Lalu Rasulullah SAW meminta kepada Siti Aishah r.a. supaya
menerangkan kepada perempuan itu. Maka Siti Aishah pun berkata: “Ambil sepotong
kapas yang bersih, lalu letakkan di tempat darah. Jika kapas itu tetap putih
tanda haid sudah berhenti.”
Yang
dimaksudkan dengan unsur kasih sayang dalam mendidik isteri bukanlah sekadar
kata-kata asmara dana atau pujuk rayu. Tetapi ia lebih daripada itu. Sifat dan
perwatakan suami itu sendiri hendaklah mempunyai ciri pengasih, sekalipun jika
dia seorang pemimpin. Ada waktu-waktu yang tertentu apabila suami bersama
isteri, suami hendaklah merendahkan sifat egonya, seperti mana yang dibuat oleh
Rasulullah SAW tatkala bersama Siti Aishah.
Sewaktu
Rasulullah SAW dinikahkan dengan Siti Aishah, umur baginda 55 tahun manakala
Siti Aishah baru enam tahun dan mereka bersama tatkala Siti Aishah berusia
sembilan tahun. Semasa melayan Siti Aishah, ada masanya Rasulullah berlagak
seperti kawan sepermainan. Siti Aishah diajak berlumba lari. Kadang-kadang Siti
Aishah menang dan adakalanya Rasulullah menang. Bermakna sewaktu bersama
isteri, adakalanya Rasulullah melayan kehendak isterinya tanpa menjatuhkan
martabatnya sebagai seorang suami yang wajib dihormati oleh isteri. Ini menunjukkan
bahawa pada masa-masa tertentu suami mesti pandai memikat hati isteri asalkan
tidak sampai terlalai hingga menurut saja segala kemahuan isteri.
Di
sinilah perlunya ketegasan seorang suami. Tegas dalam syariat dan tegas dalam
perjuangan. Tegas tidak pula bermakna kasar atau garang cuma jangan sampai
kerana hendak melayan kehendak isteri, syariat dan perjuangan terpaksa
diketepikan. Sebagai pemimpin dalam sesebuah rumahtangga, suami berhak untuk
mendidik dan menyelesaikan segala kekusutan fikiran isterinya. Oleh kerana
wanita seringkali bertindak mengikut perasaannya, maka adakalanya apabila
fikiran terganggu, emosinya juga terikut sama. Tatkala itu kalau ada kesalahan
suami walaupun kecil akan diungkit-ungkit lebih-lebih lagilah jika kesalahan
itu dianggap besar, mulalah meluap-luap perasaan marahnya pada suami.
Memang
satu sifat yang agar sukar untuk dikawal ialah tatkala isteri sedang marah.
Kadang-kadang dia mengamuk macam ribut taufan lakunya (sebab itu kebanyakan
nama ribut diambil dari nama perempuan umpamanya Taufan Lydia, Ariel, Angela
dan lain-lain). Bagaimana sepatutnya tindakan suami untuk mententeramkan isteri
yang sedang dilanda ribut taufan ini? Seeloknya didiamkan saja dahulu sampai
kemarahannya reda kemudian baru diterangkan dengan sejelas-jelasnya setiap
perkara yang perlu diterangkan terutama yang menimbulkan prasangka isteri.
Mengapa perlu diamkan saja orang yang sedang mengamuk? Kerana tatkala sedang
marah syaitan sengaja meluap-luapkan perasaan marahnya. Kalau dijawab, bererti
kita sengaja mencari pasal kerana berlawan dengan syaitan. Maka lebih baik
didiamkan sahaja sehingga perasaan marahnya kendur.
Ada
kalanya demi keharmonian rumahtangga, ada perkara-perkara tertentu yang tidak
sepatutnya diketahui oleh isteri. Kalau perlu disembunyikan dari pengetahuan
isteri, sembunyikan sungguh-sungguh. Bukanlah untuk menggalakkan suami
mengambil kesempatan melakukan perkara yang sumbang dan berbuat dosa di
belakang isteri. Tetapi jika perkara yang disembunyikan itu tidak bertentangan
dengan syariat, memang ada baiknya disembunyikan. Mungkin ia berhubung dengan
suatu perkara yang isteri masih sukar untuk menerimanya. Hal ini pernah berlaku
dalam rumahtangga Rasulullah SAW.
Suatu hari isteri-isteri datang
menemui Baginda, dan Siti Aishah, yang mewakili mereka semua, bertanya: “Wahai Rasulullah, di antara isteri-isteri
Rasulullah,yang manakah yang paling Rasulullah sayangi?” Rasulullah SAW tersenyum mendengar
pertanyaan itu. Rasulullah tidak terus menjawabnya. Bahkan Baginda menyuruh
kesemua isterinya pulang dahulu dan berjanji akan memberikan jawapannya
kemudian. Bagaimana harus dijawab kalau anda ditanya begitu oleh isteri-isteri
anda? Memang tidak dinafikan perasaan kasih sayang itu tidak boleh diberi sama
adil. Ini diakui oleh Allah SWT. Tetapi suami mestilah pandai memainkan
peranannya supaya jangan ada di kalangan isteri-isteri yang tersinggung
perasaanya kerana mengetahui suami lebih sayang kepada isteri yang tertentu.
Berbalik kepada kisah tadi, maka seperti biasa Rasulullah SAW mendatangi isteri-isterinya
mengikut giliran masing-masing. Rasulullah sedikit pun tidak menyebut mengenai
persoalan yang dikemukakan itu. Sebaliknya sebelum baginda meninggalkan
isterinya, setiap seorang baginda hadiahkan sebentuk cincin dan baginda
berpesan agar mereka tidak memberitahu pada isteri-isteri yang lain.
Pada hari yang telah ditetapkan
Rasulullah SAW menyuruh isteri-isterinya berkumpul kerana baginda hendak
memberi jawapan kepada persoalan yang dikemukakan. Maka berdebar-debarlah hati
masing-masing untuk mengetahui siapakah di antara mereka yang paling disayangi
oleh Rasulullah. Ada yang terasa pasti jawapannya Siti Aishah kerana beliaulah
yang termuda di antara mereka. Tetapi dengan kebijaksanaan Rasulullah SAW,
Baginda pun berkata, “Isteri yang paling disayangi ialah mereka
yang diberi cincin kepadanya.” Maka
tersenyumlah isteri-isteri Rasulullah kerana setiap seorang menyangka dia
sahaja yang menerima cincin tersebut. Begitulah sepatutnya tindakan suami,
pandai menyelesaikan kekusutan fikiran isteri.
Satu
perkara lagi biasanya kaum perempuan suka berleter atau setengah orang kata
macam mulut murai. Suami yang bijak akan berdiam dan tidak menjawab leteran
isteri. Ini bukan bermakna suami mengalah, tetapi sebagai satu strategi. Ibarat
orang sedang sakit gigi. Gigi yang sakit jangan terus dicabut kerana akan
bertambah sakitnya. Hendaklah tunggu sehingga sakitnya berkurangan barulah
dicabut. Maknanya isteri yang sedang berleter, jangan dinasihati. Hendaklah
tunggu keadaannya menjadi kendur, barulah boleh dinasihati. Dan nasihat itu
mestilah kena pada tempatnya. Maka barulah diterima dan dirasakan seperti
kepala yang disirami embun pagi pada kala panas terik. Rasulullah SAW juga
pernah berhadapan dengan kerenah perempuan yang suka berleter. Rasulullah tidak
menjawab sepatah pun. Baginda memberi peluang kepada perempuan tersebut
meluahkan ketidakpuasan hatinya. Apabila kesemuanya telah diluahkan, barulah
baginda memberi penjelasan atau pun memaafkan saja dan melupakan perkara
tersebut.
Tidak
semua suami memiliki isteri yang banyak kerenah. Beruntunglah suami yang
memiliki isteri yang sikapnya terlalu pengasih terhadap suami dan anak-anak.
Perempuan begini rela mengorbankan seluruh jiwa dan raganya untuk kebahagiaan
suami dan anak-anak. Dia akan bersikap sebagai penghibur, penyayang, pendorong
dan pembantu kepada perjuangan suami sekiranya suaminya seorang pejuang atau
pendakwah. Isteri begini bukan sahaja tidak membebankan suami dengan
masalah-masalahnya, bahkan dia akan berusaha untuk menyelesaikan masalah
suaminya. Sabda Rasulullah SAW:
“Barangsiapa memiliki isteri
yang solehah, maka sesungguhnya ia telah memiliki separuh dari agamanya.”
Rasulullah
SAW juga bersabda yang bermaksud
“Dunia adalah hiasan dan hiasan
yang terbaik ialah memiliki isteri yang solehah.”
Apabila
wanita dapat dididik dengan betul, maka ia dapat memberi kebaikan yang besar
kerana di tangan wanitalah penentu corak generasi akan datang. Kelembutan dan
kehalusan belaian tangan wanita yang solehah boleh membahagiakan seisi alam.
sumber dari : http://myibrah.com/mendidik-isteri-cara-rasulullah-s-a-w
No comments:
Post a Comment